Friday, March 7, 2008

Tahap-Tahap Dalam Mencegah Kemungkaran

Tahap-Tahap Dalam Mencegah Kemungkaran

Para ulama telah menerangkan tentang bagaimanakah cara dan tahap-tahap untuk menegah kemungkaran, antaranya ialah al-Imam Ibn Qudamah. Menurut beliau tahap-tahap tersebut adalah seperti berikut:

Langkah Pertama : Pengenalan

Seorang jahil yang tidak mengenali kemungkaran dan apabila diberi penjelasan, ia akan meninggalkan kemungkaran tersebut, maka hendaklah diberi penerangan dengan cara yang lemah-lembut dan berhikmah.

Langkah Kedua : Memberi nasihat

Memberi peringatan dan menceritakan sejarah perjuangan para salafusoleh dan umat terdahulu dengan cara yang baik tanpa menggunakan kekasaran.

Dr Ramadhon Abdul Muttolib Khumais telah menyebut: Allah telah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun agar berjumpa dengan Firaun yang telah melampau dan menyerunya agar kembali kepangkaun Ilahi (jalan yang benar) dengan berlemah-lembut dan berhikmah.

Nabi Musa AS telah memulakan dakwahnya dengan katanya seperti dalam firman Allah ‘Azza Wa Jalla:Maksudnya: Adakah engkau suka hendak menyucikan dirimu.(An-Nazia’at: 18)

Nabi Musa telah mengunakan uslub yang panjang untuk menjinakkan hati Firaun. Sebenarnya Nabi Musa boleh menggunakan uslub yang lebih ringkas iaitu:(Adakah kamu sucikan diri?). Namun uslub yang sebegini terlalu kasar dan tidak berhikmah; boleh menimbulkan kemarahan serta menjauhkan hati Firaun.(Al-Dakwah Al-Islamiah Arkanuha Wa Minhajuha: 250-251)

Langkah Ketiga: Berkeras Dan Menggunakan Ketegasan

Apabila orang yang diseru berdegil dan mempermain-mainkan nasihat yang disampaikan, maka ketika ini perlu digunakan uslub penyampaian yang lebih tegas dan keras, tetapi bukan menggunakan celaan, perkataan yang kotor dan pembohongan. Contohnya uslub yang telah digunakan oleh Nabi Ibrahim AS, firman Allah ‘Azza Wa Jalla:Maksudnya: Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?(Al-Anbiya’: 67)

Langkah Keempat: Menggunakan Tangan (kuasa)

Setelah langkah-langkah di atas ternyata gagal maka tangan boleh digunakan untuk mencegah kemungkaran tersebut daripada terus berleluasa, seperti membuang arak, mengoyak gambar-gambar lucah dan mengkhayalkan.

Ibn Qudamah berkata: Sesiapa yang merasakan bahawa ia akan ditimpa kemudharatan sekiranya ia bertindak, maka tidak wajib baginya mencegah kemungkaran tersebut, namun sekiranya ia merasakan, ia tidak akan dihukum dengan suatu yang memudharatkan maka adalah menjadi kewajiban ke atasnya untuk bertindak. Ukuran kemudharatan tersebut bukan tertakluk kepada sejauhmana pengecut atau beraninya seseorang, sebaliknya diukur dengan neraca kesederhanaan di dalam tindakan dan kesempurnaan tabi’at seseorang. Apa yang dimaksudkan dengan mudhorat adalah seperti tercetusnya pembunuhan, pukulan, rampasan harta dan provokasi dalam negara. Namun jika sekadar celaan dan makian, bukanlah suatu yang boleh dianggap sebagai keuzuran untuk mengundur dari menjalankan tanggungjawab ini.(Mukhtasor Minhaj Al-Qosidin: 132)

Jika tidak wujud kemudharatan sepertimana di atas, maka kita perlu perhatikan pula, adakah kemungkinan berlakunya fitnah dan prasangka buruk dari kalangan orang ramai terhadap tindakannya tersebut.

Mencegah dengan tangan adalah menjadi tanggungjawab dan hak ke atas penguasa atau penjaga, ke atas orang yang melakukan kemungkaran contohnya pemerintah berkuasa ke atas rakyatnya. Seorang ayah adalah berkuasa ke atas anak-anak dan isterinya. Jiran, saudara-mara, sahabat handai dan orang ramai bukan di bawah kekuasaan kita. Justeru itu, kita hanya boleh menegah kemungkaran dengan kata-kata dan hati sahaja.

Langkah Kelima: Ancaman

Membuat ancaman dan menakut-nakutkan seperti mengatakan: “Tinggalkanlah perkara ini jika tidak aku akan melakukan sesuatu ke atas engkau”

Langkah Keenam: Bertindak Keras

Memukul dengan tangan dan kaki serta anggota lain tanpa menggunakan senjata, dengan syarat jika di dalam keadaan terdesak dan ia dilakukan sekadar keperluan sahaja. Sekiranya orang tersebut telah meninggalkan kemungkaran yang dilakukannya maka pukulan tersebut hendaklah dihentikan serta merta.(Mukhtasor Minhaj Al-Qosidin: 136, Feqh Al-Dakwah Fi Ikar Al Munkar: 56)

No comments: