Sunday, May 20, 2012

SIAPAKAH PEMIMPIN YANG BOLEH DAN TIDAK BOLEH DITENTANG?

SIAPAKAH PEMIMPIN YANG BOLEH DAN TIDAK BOLEH DITENTANG?

Sebelum ini, jawapan mengenai persoalan: “ADAKAH SETIAP GOLONGAN MUSLIM YANG BERSENGKETA MASUK KE DALAM NERAKA” dijawab dalam penerangan mengenai tafsiran hadis:

إذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ
“Apabila dua orang muslim bertembung dengan pedang mereka, maka pembunuh dan yang dibunuh di dalam neraka.”

Yang mana maksud hadis ini ialah bukanlah semua orang yang mengangkat pedang untuk memerangi seseorang muslim dikira berdosa. Hukum berdosa itu hanya membabitkan orang yang bersengketa tanpa alasan yang menepati syariat seperti dijelaskan sebelum ini. 

Sila rujuk:
http://nahimungkar.blogspot.com/2012/03/adakah-kebangkitan-rakyat-adalah-suatu.html?m=1
Atau:
http://www.facebook.com/note.php?note_id=376487815709319

 Dalam kesempatan ini pula saya ingin menjelaskan mengenai maksud hadis: Abu Walid atau nama sebenarnya adalah Ubadah bin Somit, melaporkan:

بَايَعْنَا رَسُول الله صلى الله عليه وسلم عَلَى السَّمْعِ والطَّاعَةِ في العُسْرِ واليُسْرِ، وَالمَنْشَطِ وَالمَكْرَهِ، وَعَلَى أَثَرَةٍ عَلَيْنَا، وَعَلَى أنْ لاَ نُنازِعَ الأَمْرَ أهْلَهُ إِلاَّ أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا، عِنْدَكُمْ مِنَ اللهِ تَعَالَى فِيهِ بُرْهَانٌ، وَعَلَى أنْ نَقُولَ بالحَقِّ أَيْنَمَا كُنَّا لاَ نَخَافُ في اللهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ
“Kami pernah berakad setia kepada Rasulullah supaya tetap patuh dan taat kepada baginda, baik dalam keadaan senang ataupun susah, merasa lapang ataupun keberatan dan mengutamakan kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri. Kami juga berakad setia untuk tidak membantah kepemimpinan orang yang layak memimpin kecuali apabila kami melihat dengan jelas orang itu sudah kafir. Hal itu berdasarkan bukti-bukti daripada Allah padanya. Kami juga berjanji bercakap benar di mana sahaja kami berada tanpa rasa takut mengatakan yang hak, meskipun dicela oleh orang yang suka mencela.” (Sepakat riwayat).

A) PEMIMPIN YANG KAFIR ATAU PEMIMPIN YANG MELAKUKAN MAKSIAT?!
Maksud hadis di atas ialah Rasulullah SAW ingin melepaskan sekatan menghukumkan seseorang pemerintah sebagai kafir sebelum ia digulingkan dengan kekerasan. Ini kerana adakalanya pemerintah melakukan perbuatan kufur tetapi ia tidak dihukum sebagai kafir. Menghukumkan seseorang melakukan perbuatan kufur adalah lebih mudah daripada menghukum seseorang sebagai kafir. 

 Dalam Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi menyebut: “Maksud “kufur” di sini (dalam hadis tersebut) ialah “maksiat”.  Ungkapan “Hal itu berdasarkan bukti-bukti daripada Allah padanya” bererti kamu tahu ia adalah daripada agama Allah. Pengertian hadis ini ialah: “Janganlah kamu menentang pemerintah pada pemerintahan mereka dan kamu membangkang mereka melainkan kamu melihat kemungkaran yang secara nyata pada landasan Islam. Jika kamu melihatnya maka bantahlah mereka. Katakanlah kebenaran di mana sahaja kamu berada. Manalaka memberontak (mengangkat senjata) dan memerangi (membunuh) mereka, maka ia adalah haram mengikut ijmak ulama, sekalipun mereka adalah fasiq dan zalim. Telah nyata hadis-hadis dengan pengertian yang saya sebutkan. Ijma’ Ahli Sunnah mengatakan bahawa pemerintah tidak boleh dijatuhkan (dengan kekerasan) sekalipun ia fasiq.”

 Bukanlah suatu perkara rasional, syariat Islam yang adil menetapkan bahawa semua umat Islam mesti berkorban demi mengekalkan kerusi pemerintah yang zalim.

 Bukanlah suatu perkara yang rasional, Syariat Islam yang murni membenarkan umat Islam yang mulia dihina dan ditindas oleh suatu umat selama puluhan tahun kerana tidak harus menentang pemerintah selagimana ia muslim.

 Bukanlah suatu perkara yang rasional, Syariat Islam memerintahkan umatnya supaya jangan menghambakan diri kepada Allah dengan cara yang sebenarnya dari satu generasi sehingga generasi yang lain, malah hidup dalam suasana maksiat dan dosa besar, hanya dengan alasan “tidak boleh menentangkan pemerintah” yang telah melampau dalam melakukan jenayah dan kezaliman.
 Oleh sebab yang demikian, Iman al-Nawawi, Ibn Hajar dan ulama-ulama yang lain mentafsirkan kalimah “kufur” sebagai “maksiat”. Ini supaya objektif syariat yang pertama dapat dipelihara iaitu menjaga agama. Begitu juga dipelihara objektif-objektif syariat yang lain iaitu: menjaga nyawa, menjaga harta, menjaga akal, dan menjaga keturunan, sedangkan semua ini terabai di bawah pemerintahan yang pincang.   

 Dalam riwayat yang lain bagi hadis ini, benar-benar menjelaskan bahawa kalimah kufur di sini adalah bermaksud maksiat. 

1) Dalam Sahih Ibn Hibban, Abu Nahdr meriwayatkan bahawa Ubadah bin Shomit berkata: Rasulullah SAW bersabda:

اسْمَعْ وَأَطِعْ فِي عُسْرِكَ وَيُسْرِكَ وَمَكْرَهِكَ وَأَثَرَةٍ عَلَيْكَ، وَإِنْ أَكَلُوا مَالَكَ، وَضَرَبُوا ظَهْرَكَ، إِلاَّ أَنْ تَكُونَ مَعْصِيَةً للهِ بَوَاحًَا
“Patuhlah dan taat ketika kamu susah, senang, keberatan, dan mengutamakan kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri, sekalipun mereka memakan harta kamu dan memukul belakang kamu, melainkan jika kamu maksiat terhadap Allah secara nyata.”

2) Dalam Musnad Imam Ahmad diriwayatkan daripada Ubadah bin Shomit bahawa Rasulullah S.‘A.W bersabda: 

عَلَيْكَ السَّمْعَ وَالطَّاعَةَ فِى عُسْرِكَ وَيُسْرِكَ وَمَنْشَطِكَ وَمَكْرَهِكَ وَأَثَرَةٍ عَلَيْكَ وَلاَ تُنَازِعِ الأَمْرَ أَهْلَهُ وَإِنْ رَأَيْتَ أَنَّ لَكَ مَا لَمْ يَأْمُرُوكَ بِإِثْمٍ بَوَاحًا
“Hendaklah kamu tetap patuh dan taat kepada baginda, baik dalam keadaan susah ataupun susah, merasa lapang ataupun keberatan, dan kepentingan orang lain lebih diutamakan daripada kepentingan diri kamu. Dan janganlah kamu menentang kepemimpinan orang yang layak memimpin, sekalipun kamu mendapati kebenaran pada kamu, selagimana mereka tidak menyuruhkan kamu melakukan dosa yang nyata.”

 Riwayat-riwayat ini mentafsirkan kalimah “kafir” yang disebutkan dalam hadis sebelum ini sebagai maksiat dan dosa. Hal ini lebih hampir dengan objektif syariat.

 Menurut para ulama terdapat dua jenis “kufur” iaitu “kufur amali” dan “kufur i‘tiqadi”. Terdapat sebahagian orang yang melakukan amalan kufur tetapi ia masih beri‘tiqad bahawa syariat Allah adalah benar. Ia melakukan kesalahan disebabkan kelemahan dirinya. Ini merupakan “kufur amali” dan bukan “kufur i‘tiqadi”. Hal ini tidak menyebabkan ia terkeluar daripada Islam tetapi menjadikannya fasiq. Sementara orang menyanggah syariat Islam dengan beri‘tikqad bahawa peraturan manusia lebih baik daripada peraturan Allah dalam sesesuatu perkara, maka inilah suatu bahaya kerana ia menyebabkan terkeluar daripada Islam.

 Oleh sebab kita tidak dapati meneliti hati pemerintah, maka kita katakan bahawa memerintah dengan peraturan selain daripada syariat Allah adalah sekurang-kurangnya “kufur amali”, dan adakalanya menjadi “kufur i‘tiqadi”. Tetapi kita tidak boleh membuat ketetapan tanpa mengenal pasti.     

  Ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn ‘Abbas dalam tafsir firman Allah SWT (yang bermaksud): “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” (Surah al-Mai’dah: 44). Beliau mengatakan bahawa ia bukanlah kafir yang menyebabkan seseorang terkeluar daripada agama, tetapi kafir yang tidak menjadi seseorang sebagai kafir. (Riwayat al-Hakim).

 Maksud tersebut disokong dengan contoh daripada hadis-hadis yang lain:

1) Abdullah bin Mas‘ud meriwayatkan bahawa Nabi S.‘A.W bersabda:
سِبَابُ الْمُسْلِم فُسُوقٌ وَقِتالُهُ كُفْرٌ
“Mencela seseorang muslim adalah fasiq dan membunuh adalah kufur.” (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)

Secara jelas, apabila seseorang muslim membunuh seseorang muslim, ia tidak menjadi kafir, tetapi ia adalah suatu maksiat yang besar.

2) Buraidah meriwayatkan bahawa Nabi S.‘A.W bersabda:
العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلاَةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
“Sempadan yang membezakan kita dengan mereka (orang kafir) ialah solat. Sesiapa yang meninggalkannya telah menjadi kafir.”

Menurut Imam al-Syafii, Abu Hanifah dan Malik: Ia adalah kufur yang tidak menjadikan seseorang sebagai kafir selagimana ia tidak menghalalkan perbuatan meninggalkan sembahyang. Adapun jika ia menghalakannya maka ia menjadi kafir pada i‘tiqadnya. Menurut Imam Ahmad pula: Ia menjadi kafir pada i‘tiqadnya dalam kedua-dua keadaan berpandukan lafaz mutlak pada hadis tersebut. Namun, pandangan jumhur ulama adalah sebaliknya.
 
3) Ibn Umar meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah S.‘A.W bersabda:
مَنْ حَلَفَ بِغَيرِ اللهِ، فقد كَفَرَ أَوْ أشْرَكَ
“Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka ia telah kufur atau syirik.” (Sahih al-Tirmizi)
Para ulama telah mentafsirkan kufur atau syirik di sini menunjukkan penegasan, iaitu sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah pada hakikatnya ia tidak menjadi kafir, tetapi ia melakukan perbuatan mungkar yang besar yang patut disifatkan sebagai kufur sekalipun ia tidak dihukum sebagai seorang kafir.  

Terdapat banyak lagi contoh-contoh seperti ini. Yang mana perkataan “kufur” yang disebutkan menunjukkan maksud yang sama pada hadis pemerintah. Hal ini menunjukkan bahawa pemerintah yang melakukan maksiat hendaklah ditentang supaya agama dapat dipelihara. Bahkan perkara inilah mesti menjadi keutamaan melebihi perkara lain dengan mengikut objektif syariat (maqasid syariah).

B) SEMUA JENIS PEMIMPIN ATAU PEMIMPIN YANG TIDAK LAYAK MEMIMPIN?!
Apakah yang dimaksudkan: “Kami juga berakad setia untuk tidak membantah kepemimpinan orang yang layak memimpin” Hadis tersebut tidak mengatakan: “Kami juga berakad setia untuk tidak membantah kepemimpinan orang yang memimpin.” Jadi dapat difahami di sini, bukanlah dilarangan menentang semua pemerintah tetapi dilarang menentang orang yang layak memerintah. Justeru orang yang merampas kuasa, menyeleweng dan menipu bukanlah orang yang layak untuk memimpin.
 
Orang layak memimpin hendaklah menepati syarat kepimpinan dan menunaikan kewajipan pemerintah muslim. Perkara ini disokong dengan firman Allah SWT (yang bermaksud): “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah: 124).  Jadi orang yang menyeleweng dan zalim tidak akan mendapati “janji Allah” tersebut, iaitu ia tidak layak memimpin, sekalipun ia muslim.

Semua ini selari dengan objektif syariat dan merealisasikan keadilan, rahmat, amanah dan kuasa yang benar. Dan semua ini adalah perkara prinsip dalam syariat Islam.

C) KEMUNGKARAN YANG TERSEMBUNYI ATAU YANG NYATA?!
Hadis di atas menyatakan “…kecuali apabila kami melihat dengan jelas orang itu sudah kafir (melakukan maksiat secara nyata).” Tidaklah menghiraukan kita maksiat yang dilakukan oleh pemimpin secara tersembunyi kerana kita tidak diharuskan mengintip. Adapun maksiat yang nyata, ia amatlah bahaya. Malah lebih teruk lagi mereka yang menyebarkan dan mengalakkan perbuatan maksiat. Contohnya, memberikan anugerah kepada sasterawan yang menyanggah prinsip agama, hadiah untuk artis yang mendedahkan aurat, mengembangkan amalan riba dan lain-lain.          

Dalam hal ini, sewajarnya difahami bahawa membantah dan menentang pemerintah dengan cara bersuara secara lantang dan mengadakan perhimpunan aman bukanlah suatu pemberontak bersenjata yang dilarang dan dibahaskan seperti yang terdapat dalam kitab-kitab feqah. Ini berpandukan dua sebab:

Pertama: Ia adalah suatu tuntutan perubahan secara aman. Manakala hadis-hadis yang melarang menentang pemerintah adalah mengenai penentangan dan pemberontakan bersenjata.

Kedua: Hadis-hadis dan hukum-hakam feqah yang dibahaskan adalah mengenai pemerintah yang mendapat kuasa secara sah, iaitu melalui pilihan rakyat tanpa paksaan dan penyelewengan.      

Semoga hasil daripada perbahasan ini kita dapat memikirkan mengenai: ADAKAH KEBANGKITAN RAKYAT ADALAH SUATU FITNAH DAN KEKACAUAN?! Sesungguhnya agama bukanlah alat untuk pemerintah menindas rakyat, dan agama juga bukanlah penghalang bagi seseorang untuk menuntut kebebasan, keadilan dan kehidupan yang mulia.

Tuesday, March 27, 2012

ADAKAH KEBANGKITAN RAKYAT ADALAH SUATU FITNAH DAN KEKACAUAN?!

Golongan Pertama: Penyokong parti pemerintah yang zalim dan menindas rakyat. Mereka mempunyai kepentingan peribadi daripada kezaliman, kecurian dan rompakan. Mereka
berpendapat gejala itu harus dibiarkan, jika disekat akan tercetuslah fitnah.
Sekalipun menggadaikan nyawa seseorang, tidak perlulah dihiraukan. Tidak perlu
mencetuskan kekacauan. Biarkan sahaja situasi semasa berterusan.

Golongan ini dipelopori oleh media dusta yang mempertahankan pihak pemerintah. Kemungkinan dipergunakan ulama jahat, golongan intelek upahan, golongan belia yang
berpeleseran untuk menyokong pandangan mereka.

Golongan Kedua: Orang yang lemah dari kalangan rakyat
jelata. Mereka ingin hidup aman dan selesa, sekalipun dalam keadaan hina.
Mereka tidak memiliki aspirasi yang tinggi. Mereka hanya berpada dengan sesuap
dua makanan. Dan hanya melihat masa depan yang dekat. Mereka mengambil sikap
berkecuali dan tidak mempedulikan senario politik yang berlaku. Merekalah yang
dimaksudkan dalam sabda Rasulullah SAW:

لَا تَكُونُوا إِمَّعَةً تَقُولُونَ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَا تَظْلِمُوا

“Janganlah kamu menjadi “immaah” (pak turut), iaitu kamu mengatakan jika orang baik, maka akupun baik; jika orang zalimku, maka aku juga zalim. Tetapi tetapkanlah pada diri kalian jika manusia baik, aku juga baik; jika mereka jahat, maka janganlah kamu zalim.” (Daripada Huzaifah: Sunan al-Tirmizi)

Golongan ini hanya memerhatikan orang yang memperjuangkan kebenaran tanpa menyertai perjuangan mereka. Jika mereka berjaya, maka golongan ini turut bergembira dan memujinya.
Jika mereka gagal, golongan ini mengatakan: Bukankah kami katakan jangan timbulkan kekacauan dan cetuskan fitnah!.

Golongan ini bukanlah munafik, tetapi pengecut dan hanya mengikut-ikut. Mereka ingin persengketaan ditenteramkan dan dihentikan supaya usaha mereka mencari sesuap nasi dapat
diteruskan. Justeru mendapati ungkapan fitnah dapat dijadikan alasan yang mudah
dan lunak disebut.

Golongan Ketiga: Mereka melihat jika dua golongan muslimin bertentangan ia adalah fitnah yang mesti dihindari. Menentang pemerintah tidak harus selagimana mereka menunaikan
solat atau tidak melakukan kekufuran yang nyata.

Golongan ini menggunakan hujah dengan beberapa hadis dengan tafsiran yang salah. Antaranya
sabda Nabi SAW:

إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ هذَا الْقَاتِلُ فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ قَالَ: إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ

“Apabila dua orang muslim bertembung dengan pedang mereka, maka
pembunuh dan yang dibunuh di dalam neraka.” Seorang lelaki berkata: “Memang
benar bagi pembunuh, bagaimana.pula dengan orang yang dibunuh?” Sabda Baginda:
“Ia bersungguh-sungguh ingin membunuh lawannya.” (Daripada Abu Bakrah: Sahih al-Bukhari)

Persoalan daripada hadis ini ialah adakah setiap pertembungan dan persengketaan antara golongan muslimin, maka semua pihak akan masuk neraka? Ataupun terdapat pengecualian dalam hal ini atau pengkhususan.

Adakah apabila seseorang melakukan kezaliman, ingin mencuri dan merompak harta seseorang atau harta keluarganya, maka ia mesti menyerah diri dan menyerahkan hartanya.
Bukankah Nabi SAW bersabda:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهيدٌ ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ ، وَمَنْ قتِلَ دُونَ دِينهِ فَهُوَ شَهِيدٌ ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ

“Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, ia adalah syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya, ia adalah syahid.
Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, ia adalah syahid. Sesiapa
yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, ia adalah syahid.” (Daripada Amr bin Nufail: Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi)

Jadi bagaimana pula pemerintah yang mencuri harta rakyat, mencabul hak rakyat, dan menzalimi rakyat?

Adakah muslim yang mempertahankan, membela dan memperjuangkan haknya, hak anaknya, hak keluarganya dan hak rakyat, sama seperti muslim yang mencuri, merompak dan zalim?

Adakah muslim yang berilmu dan beradab yang keluar menyatakan kebenaran dan menuntut hak, sama seperti "samseng profesional"?

Rentetan itu, adakah jika dua orang muslim yang bertarung pedang, kedua-dua pihak adalah sama?

Dalam menerangkan hadis tersebut Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath Bari dan Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim mengatakan bahawa ancaman dalam hadith tersebut ditujukan kepada orang yang bertarung tanpa alasan yang diharuskan, malah ia hanya ingin
kuasa.

Jadi bukankah terdapat alasan yang diharuskan bagi yang orang menuntut hak yang diiktiraf
tetapi dirampas.

Menurut Imam al-Thabari pula, jika orang-orang muslim wajib lari dengan berdiam diri di
rumah dan menyimpan pedang ketika setiap kali berlaku pertentangan antara
mereka, maka hukum hudud tidak patut dilaksankan, kebatilan tidak ditewaskan,
dan orang fasik akan mendapat peluang untuk melakukan perkara haram seperti
merampas harta, menumpahkan darah dan melakukan pencabulan. Ketika itu,
golongan fasik memerangi golongan muslimin, maka golongan muslimin akan
mengangkat tangan berserah diri kepada mereka. Sebabnya, golongan muslimin
berkata: Ini adalah fitnah dan kami dilarang daripada bertarung dan hal ini
bercanggah dengan perintah supaya membimbing orang yang bodoh. (Fath al-Bari)

Dalam sebuah riwayat yang dikemukakan oleh al-Bazzar, sabda Rasulullah SAW: “Jika kamu
berbunuh-bunuhan dengan sebab perkara dunia, maka orang yang membunuh dan orang
yang terbunuh di dalam neraka.” Imam al-Qurthubi memberi komentar mengenai
hadith ini: Hadith ini menerangkan bahawa jika pertarungan berlaku dengan sebab
kejahilan seperti inginkan dunia dan mengikut nafsu, maka inilah yang
dimaksudkan daripada sabda baginda: “Orang yang membunuh dan orang yang
terbunuh di dalam neraka.” (Fath al-Bari)