Mendedahkan Kejahatan
Allah SWT telah memberi amaran daripada mendedahkan perbuatan maksiat. Allah SWT juga telah menerangkan bahawa ia adalah antara sebab siksaan dan azab. Antara dalil yang menerangkan ini ialah:
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (al-Nur, 19).
Ini adalah celaan dan ancaman terhadap sesiapa yang suka dengan penyebaran perkara keji. Justeru lebih parah lagi orang yang langsung melakukannya secara terbuka dan terang-terangan.
Firman Allah SWT: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (al-Rum, 41).
Berhubung dengan ayat ini Abu al-‘Aliyyah berkata: Sesiapa yang derhaka kepada Allah, ia telah melakukan kerosakan di muka bumi. Sebabnya ialah kebaikan di bumi dan langit ialah dengan ketaatan.
Ini sebagaimana yang dimaklumkan Allah SWT bahawa Dia tidak menyukai kerosakan. FirmanNya: “Sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (al-Baqarah, 205). Tiada syak bahawa mendedahkan perbuatan maksiat adalah adalah bencana kerosakan yang terbesar.
Firman Allah SWT: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Nisa, 148). Ertinya, hanya orang yang teraniaya yang boleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa keburukan-keburukan orang yang menganiayainya.
Disebut di dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Bakar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya manusia apabila melihat kemungkaran tetapi tidak mengubahnya, dibimbangi mereka turut dikenakan azab daripada Allah.” (Riwayat al-Tirmizi).
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.‘a.w bersabda: “Setiap umatku mendapat kesejahteraan melainkan orang yang melakukan kejahatan secara terang-terangan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.”
Demikianlah peraturan Allah SWT di alam semesta ini sesiapa melakukan perbuatan biadap terhadap Allah secara terang-terangan dan berbangga dengannya, pasti Allah membinasakan dan memusnahkan mereka. Orang yang merenung sejarah silam dan perjalanan golongan terdahulu akan jelas mengetahui mengenai perkara tersebut. Apakah sebab kaum Nabi Nuh ditenggelamkan? Apakah sebab kaum Ad (kaum nabi Hud) dibinasakan dengan angin ribut yang kencang? Apakah sebab kaum Thamud dibinasakan dengan disambar petir? Apakah sebab kaum Luth dibenamkan dan ditimpakan hujan batu? Apakah sebab Firaun dan tenteranya ditenggelamkan? … Tidak lain tidak bukan sebabnya ialah maksiat yang berleluasa dan ia dilakukan dengan terdedah, terang-terangan.
Justeru sesiapa yang terlanjur melakukan maksiat, kemudian ia menutupnya, tidak mendedahkannya dan tidak bermegah dengannya, maka peluang taubat masih terbuka. Ia masih boleh diharapkan untuk meninggalkan maksiat dan tidak mengulanginya.
Pada zaman Rasulullah s.‘a.w terdapat seorang telah mengaku berzina. Kemudian Rasulullah s.‘a.w bersabda: “Wahai manusia, tibalah masanya untuk kamu menghentikan daripada melanggarkan batasan Allah. Sesiapa yang telah melakukan perkara yang jijik hendaklah ia menutupnya dengan perlindungan daripada Allah.”
Kata Ibn Umar: Sabda Rasulullah s.‘a.w: Allah SWT menghampiri orang beriman pada hari Qiamat lalu menaunginya dan melindunginya lalu mengatakan: “Adakah kamu tahu tentang dosa ini? Adakah kamu tahu tentang dosa itu?” Lalu orang beriman tersebut menjawab: “Ya.. saya tahu mengenainya.” Apabila ia mengakui perbuatan yang dipersoalkan itu dan merasakan dirinya akan binasa, Allah SWT mengatakan kepadanya: “Aku telah menutupnya untuk kamu di dunia, maka pada hari ini aku ampun kamu.” Kemudian diberikan lembaran catatan kebaikannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Friday, March 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment