Kedudukan Mereka Yang Bersikap Berkecuali (“Biarlah..”)
Kita perlu merenung sejarah silam, bagaimana peranan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang menjadi tugas seluruh umat berdasarkan tahap kemampuan mereka. Bagaimana umat sebelum kita diperintahkan untuk melaksanakan tugas ini yang merupakan pendorong kesejahteraan dan menjadi sebab bagi kejayaan mereka.
Bagaimana pula golongan kafir di kalangan Bani Israel dilaknat oleh Allah ‘Azza Wa Jalla melalui lidah nabi Daud dan Isa bin Maryam angkara penderhakaan dan permusuhan mereka. Bahana sikap tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan.
Islam memberi amaran keras agar kita tidak menuruti jejak langkah mereka ini. Jika tidak maka kita juga turut akan menerima kecelakaan seperti yang telah mereka alami. Manusia akan mudah melaksanakan tugas ini jika mereka tahu bahawa sesiapa yang menunjukkan jalan kebaikan, mereka akan memperolehi ganjaran sepertimana orang yang melakukan kebaikan itu sendiri. Orang yang menyeru kepada hidayat juga mendapat ganjaran sepertimana orang yang mendapat hidayat. Dan demikian jugalah sebaliknya bagi orang yang menyeru kepada kejahatan. Mereka yang melakukan dosa juga mendapat padah seperti orang yang menyeru mereka.
Orang yang mengabaikan tugas amar ma`ruf dan nahi mungkar telah menggolongkan diri mereka ke dalam kelompok manusia yang tidak mendapat perhatian dan pertolongan daripada Allah. Firman Allah ‘Azza Wa Jalla: Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan, dan supaya mereka bertaqwa. Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakah orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). (Al-A’raf: 165)Ayat ini mengisahkan tentang penduduk kota Eilah yang terletak di pantai Laut Merah, iaitu antara kota Madyan dan bukit Thur. Apabila berlaku maksiat di kalangan mereka, penduduk kota tersebut terbahagi kepada tiga golongan:-
Golongan pertama:Mereka menyokong perlakuan maksiat tersebut.
Golongan kedua:Mereka berusaha mencegah kemungkaran dan sentiasa memberi nasihat.
Golongan ketiga:Tidak menyebelahi mana-mana pihak, tidak menyokong kebenaran dan tidak menghalang kemungkaran. Dengan kata lain mereka mengambil sikap “biarlah..”
Golongan ketiga telah berkata kepada golongan kedua: “Mengapakah kamu memberi nasihat kepada kaum yang telah Allah menentukan kebinasaan ke atas mereka dan kamu juga telah mengetahui bahawa Allah akan mengazab mereka di dunia dan akhirat.”
Golongan kedua menjawab: “Kami memberi nasihat untuk melepaskan diri kami daripada dosa tidak mencegah kemungkaran. Semoga kami mendapat pengampunan daripada Allah kerana kami telah menunaikan kewajipan. Mudah-mudahan dengan peringatan kami, mereka kembali kepada kebenaran dan melakukan kebaikan serta tidak lagi melakukan kemungkaran.
Akhirnya Allah ‘Azza Wa Jalla telah menyelamatkan golongan kedua, manakala golongan pertama diazab oleh Allah ‘Azza Wa Jalla dengan disumpah menjadi kera. (Tafsir Al-Munir: jil 9; ms 143 & 144)
Tidak disebut di dalam ayat berkenaan balasan bagi golongan ketiga. Mereka telah mengabaikan tugas yang diamanahkan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla dengan tidak menyeru kepada kebaikan dan tidak menegah kemungkaran. Justeru itu, Allah ‘Azza Wa Jalla mengabaikan mereka. Maka mereka tidak berhak untuk mendapat pujian Mereka juga tidak sepatutnya dicela sebab mereka tidak melakukan maksiat. Dalam erti kata yang lain, Allah ‘Azza Wa Jalla telah mengazab mereka dengan mengabaikan hal ehwal mereka.
Friday, March 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment