Saturday, March 8, 2008

HADITH ANCAMAN TERHADAP PENGUNDI KERANA KEBENDAAN


Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih.


1) Orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum Ibnu al-Sabil (para musafir yang kehabisan bekalan minuman).

2) Orang yang menawar untuk membeli barangan selepas waktu Asar dengan bersumpah atas nama Allah bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu. Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya. (Disebutkan waktu Asar kerana waktu tersebut dimuliakan. Ia adalah waktu malaikat siang mengangkat amalan, dan amalan disaksikan oleh malaikat malam dan juga malaikat siang)

3) Orang membai‘ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).” (Hadith Muttafaqun ‘Alaihi).

Friday, March 7, 2008

Mendedahkan Kejahatan

Mendedahkan Kejahatan

Allah SWT telah memberi amaran daripada mendedahkan perbuatan maksiat. Allah SWT juga telah menerangkan bahawa ia adalah antara sebab siksaan dan azab. Antara dalil yang menerangkan ini ialah:

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (al-Nur, 19).
Ini adalah celaan dan ancaman terhadap sesiapa yang suka dengan penyebaran perkara keji. Justeru lebih parah lagi orang yang langsung melakukannya secara terbuka dan terang-terangan.

Firman Allah SWT: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (al-Rum, 41).

Berhubung dengan ayat ini Abu al-‘Aliyyah berkata: Sesiapa yang derhaka kepada Allah, ia telah melakukan kerosakan di muka bumi. Sebabnya ialah kebaikan di bumi dan langit ialah dengan ketaatan.

Ini sebagaimana yang dimaklumkan Allah SWT bahawa Dia tidak menyukai kerosakan. FirmanNya: “Sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (al-Baqarah, 205). Tiada syak bahawa mendedahkan perbuatan maksiat adalah adalah bencana kerosakan yang terbesar.

Firman Allah SWT: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Nisa, 148). Ertinya, hanya orang yang teraniaya yang boleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa keburukan-keburukan orang yang menganiayainya.

Disebut di dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Bakar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya manusia apabila melihat kemungkaran tetapi tidak mengubahnya, dibimbangi mereka turut dikenakan azab daripada Allah.” (Riwayat al-Tirmizi).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.‘a.w bersabda: “Setiap umatku mendapat kesejahteraan melainkan orang yang melakukan kejahatan secara terang-terangan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.”

Demikianlah peraturan Allah SWT di alam semesta ini sesiapa melakukan perbuatan biadap terhadap Allah secara terang-terangan dan berbangga dengannya, pasti Allah membinasakan dan memusnahkan mereka. Orang yang merenung sejarah silam dan perjalanan golongan terdahulu akan jelas mengetahui mengenai perkara tersebut. Apakah sebab kaum Nabi Nuh ditenggelamkan? Apakah sebab kaum Ad (kaum nabi Hud) dibinasakan dengan angin ribut yang kencang? Apakah sebab kaum Thamud dibinasakan dengan disambar petir? Apakah sebab kaum Luth dibenamkan dan ditimpakan hujan batu? Apakah sebab Firaun dan tenteranya ditenggelamkan? … Tidak lain tidak bukan sebabnya ialah maksiat yang berleluasa dan ia dilakukan dengan terdedah, terang-terangan.

Justeru sesiapa yang terlanjur melakukan maksiat, kemudian ia menutupnya, tidak mendedahkannya dan tidak bermegah dengannya, maka peluang taubat masih terbuka. Ia masih boleh diharapkan untuk meninggalkan maksiat dan tidak mengulanginya.

Pada zaman Rasulullah s.‘a.w terdapat seorang telah mengaku berzina. Kemudian Rasulullah s.‘a.w bersabda: “Wahai manusia, tibalah masanya untuk kamu menghentikan daripada melanggarkan batasan Allah. Sesiapa yang telah melakukan perkara yang jijik hendaklah ia menutupnya dengan perlindungan daripada Allah.”

Kata Ibn Umar: Sabda Rasulullah s.‘a.w: Allah SWT menghampiri orang beriman pada hari Qiamat lalu menaunginya dan melindunginya lalu mengatakan: “Adakah kamu tahu tentang dosa ini? Adakah kamu tahu tentang dosa itu?” Lalu orang beriman tersebut menjawab: “Ya.. saya tahu mengenainya.” Apabila ia mengakui perbuatan yang dipersoalkan itu dan merasakan dirinya akan binasa, Allah SWT mengatakan kepadanya: “Aku telah menutupnya untuk kamu di dunia, maka pada hari ini aku ampun kamu.” Kemudian diberikan lembaran catatan kebaikannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seruan kebaikan dan larangan kejahatan(Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar)

Seruan kebaikan dan larangan kejahatan(Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar)

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: Maksudnya: Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar. (Luqman: 17)

‘Amar ma`ruf' dan ‘nahi mungkar’ merupakan tugas mulia yang dipikul bersama oleh orang mukmin dan Rasulullah SAW. Ia merupakan sebab-sebab yang membawa kepada kesejahteraan dan mengekalkan keutuhan serta kredibiliti umat akhir zaman. Berkaitan dengan tugas Rasulullah SAW, Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: Maksudnya: Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji. (Al-A`raf: 157)

Berkaitan dengan tugas orang mukmin, Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.(At-Taubah: 71)

Berkaitan ayat yang menjelaskan tentang kesejahteraan dan ketinggian umat ini Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Ali Imran: 110)

Berkaitan arahan suci daripada Allah ‘Azza Wa Jalla kepada orang mukmin agar melaksanakan tugas yang mulia ini dan sebagai kewajiban beragama adalah berdasarkan firman-Nya:-Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berda'wah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang berjaya.(Ali Imran: 104)

Rasulullah SAW telah memberi peringatan bahawa amar ma`ruf dan nahi mungkar adalah antara sebab membebaskan diri dari azab Allah ‘Azza Wa Jalla: Maksudnya: Ummu Salamah isteri Rasulullah SAW berkata: Rasulullah SAW bersabda: Akan terdapat pemimpin-pemimpin yang melakukan kebaikan dan juga kejahatan, sesiapa yang menegah kejahatan yang dilakukan oleh mereka maka ia telah terlepas (dosa bersekutu dengan kejahatan dan dari azab Allah), sesiapa yang membenci di hati (terhadap perbuatan mungkar tersebut) maka sesungguhnya ia telah terselamat, tetapi mereka yang redha dan mengikut kejahatan para pemimpin itu (tidak selamat). Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: Adakah perlu kami memerangi mereka? Rasulullah menjawab: Tidak, selagimana mereka menunaikan solat lima waktu. (At-Tamhid)

Rasulullah SAW mengatakan bahawa antara punca berlakunya perpecahan ialah tidak melaksanakan kewajipan amar ma`ruf dan nahi mungkar: Maksudnya: Demi Allah hendaklah kamu melaksanakan amar ma`ruf dan nahi mungkar, hendaklah kamu menegah orang yang melakukan kezaliman, berilah dorongan kepada mereka agar menerima kebenaran, dan desaklah ia kepada kebenaran, ataupun Allah akan menyelisihkan hati-hati kamu antara satu sama lain, kemudian kamu akan dilaknati oleh Allah sepertimana Allah telah melaknati mereka itu. (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmiziy)

Rasulullah SAW telah bersabda berkaitan dengan meninggalkan peranan amar ma`ruf dan nahi mungkar yang akhirnya membawa kepada tercetusnya fitnah: Maksudnya: Daripada Huzaifah beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi SAW ketikamanakah amar ma`ruf dan nahi mungkar ditinggalkan sedangkan ia adalah penghulu segala amalan ahli kebaikan?. Rasulullah SAW bersabda: Apabila menimpa kamu apa yang menimpa Bani Israel. Aku bertanya: Wahai Rasulallah! Apakah yang telah menimpa Bani Israeil? Rasulullah menjawab: Apabila orang yang baik di kalangan kamu berpura-pura (mengampu) di hadapan orang yang jahat, orang yang tidak pandai agama bercakap tentang agama dan orang yang tidak layak memerintah memegang kuasa pemerintahan. Pada ketika itu, akan berlaku fitnah, kamu memerangi fitnah tersebut dan fitnah itu menyerang kamu. (Mu`jam Al-Awsot) (Nazorot Hawla Wasoya Luqman: jil 2; 711)

Kedudukan Mereka Yang Bersikap Berkecuali (“Biarlah..”)

Kedudukan Mereka Yang Bersikap Berkecuali (“Biarlah..”)

Kita perlu merenung sejarah silam, bagaimana peranan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang menjadi tugas seluruh umat berdasarkan tahap kemampuan mereka. Bagaimana umat sebelum kita diperintahkan untuk melaksanakan tugas ini yang merupakan pendorong kesejahteraan dan menjadi sebab bagi kejayaan mereka.

Bagaimana pula golongan kafir di kalangan Bani Israel dilaknat oleh Allah ‘Azza Wa Jalla melalui lidah nabi Daud dan Isa bin Maryam angkara penderhakaan dan permusuhan mereka. Bahana sikap tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan.

Islam memberi amaran keras agar kita tidak menuruti jejak langkah mereka ini. Jika tidak maka kita juga turut akan menerima kecelakaan seperti yang telah mereka alami. Manusia akan mudah melaksanakan tugas ini jika mereka tahu bahawa sesiapa yang menunjukkan jalan kebaikan, mereka akan memperolehi ganjaran sepertimana orang yang melakukan kebaikan itu sendiri. Orang yang menyeru kepada hidayat juga mendapat ganjaran sepertimana orang yang mendapat hidayat. Dan demikian jugalah sebaliknya bagi orang yang menyeru kepada kejahatan. Mereka yang melakukan dosa juga mendapat padah seperti orang yang menyeru mereka.

Orang yang mengabaikan tugas amar ma`ruf dan nahi mungkar telah menggolongkan diri mereka ke dalam kelompok manusia yang tidak mendapat perhatian dan pertolongan daripada Allah. Firman Allah ‘Azza Wa Jalla: Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan, dan supaya mereka bertaqwa. Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakah orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). (Al-A’raf: 165)Ayat ini mengisahkan tentang penduduk kota Eilah yang terletak di pantai Laut Merah, iaitu antara kota Madyan dan bukit Thur. Apabila berlaku maksiat di kalangan mereka, penduduk kota tersebut terbahagi kepada tiga golongan:-

Golongan pertama:Mereka menyokong perlakuan maksiat tersebut.
Golongan kedua:Mereka berusaha mencegah kemungkaran dan sentiasa memberi nasihat.
Golongan ketiga:Tidak menyebelahi mana-mana pihak, tidak menyokong kebenaran dan tidak menghalang kemungkaran. Dengan kata lain mereka mengambil sikap “biarlah..”

Golongan ketiga telah berkata kepada golongan kedua: “Mengapakah kamu memberi nasihat kepada kaum yang telah Allah menentukan kebinasaan ke atas mereka dan kamu juga telah mengetahui bahawa Allah akan mengazab mereka di dunia dan akhirat.”

Golongan kedua menjawab: “Kami memberi nasihat untuk melepaskan diri kami daripada dosa tidak mencegah kemungkaran. Semoga kami mendapat pengampunan daripada Allah kerana kami telah menunaikan kewajipan. Mudah-mudahan dengan peringatan kami, mereka kembali kepada kebenaran dan melakukan kebaikan serta tidak lagi melakukan kemungkaran.

Akhirnya Allah ‘Azza Wa Jalla telah menyelamatkan golongan kedua, manakala golongan pertama diazab oleh Allah ‘Azza Wa Jalla dengan disumpah menjadi kera. (Tafsir Al-Munir: jil 9; ms 143 & 144)

Tidak disebut di dalam ayat berkenaan balasan bagi golongan ketiga. Mereka telah mengabaikan tugas yang diamanahkan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla dengan tidak menyeru kepada kebaikan dan tidak menegah kemungkaran. Justeru itu, Allah ‘Azza Wa Jalla mengabaikan mereka. Maka mereka tidak berhak untuk mendapat pujian Mereka juga tidak sepatutnya dicela sebab mereka tidak melakukan maksiat. Dalam erti kata yang lain, Allah ‘Azza Wa Jalla telah mengazab mereka dengan mengabaikan hal ehwal mereka.

Doktor Yang Sakit Mengubati Pesakit ??!!!

Doktor Yang Sakit Mengubati Pesakit ??!!!
Tajuk ini adalah berkaitan dengan orang yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan sedangkan ia sendiri tidak beramal dengan apa yang disuarakannya, dengan itu Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:- Maksudnya: Patutkah kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal. (Al-Baqarah: 44)

Al-Imam al-Baidhowiy menegaskan; ayat ini menggesa supaya membersihkan jiwa dan menyempurnakan diri sendiri agar seseorang itu mampu untuk memperbaiki orang lain pula. Ayat ini tidak menegah orang fasiq daripada memberi nasihat kepada orang lain, kerana jika seseorang gagal menyempurnakan salah satu daripada dua kewajipan tersebut, tidak semestinya dia perlu melepaskan atau mengabaikan kedua-dua tanggungjawab dan kewajipan tersebut.

Al-Imam al-Qurtubiy menjelaskan ayat ini dengan hadis:- Maksudnya: Seorang didatangkan pada hari qiamat lalu dihumban ke dalam neraka maka terburailah segala isi perutnya, kemudian diputarkan sepertimana keldai mengelilingi pengisar air. Melihat keadaan ini ahli neraka berhimpun padanya dan mereka berkata: Wahai fulan! Tidakkah engkau mengerjakan amar ma`ruf dan nahi mungkar. Orang itu menjawab: Ya, sememangnya dahulu aku menyuruh perkara ma`ruf tetapi aku tidak melakukannya dan aku menegah kemungkaran tetapi aku melakukannya. (Riwayat Bukhoriy)

Hadis ini memaparkan balasan yang lebih dahsyat bagi mereka yang mengetahui perkara yang ma`ruf dan kemungkaran, dan ia juga mengetahui tentang wajibnya melaksanakan tugasan ini (tugas amar ma`ruf dan nahi mungkar) berbanding orang yang tidak mengetahui. Ini kerana mereka seolah-olah memperkecil-kecilkan hal-hal yang diharamkan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla, dan memperlekehkan hukum-hakam. Mereka adalah orang yang tidak mengambil manfaat daripada ilmunya.

Bersabda Rasulullah SAW: Maksudnya: Manusia yang menanggung azab yang paling pedih pada hari qiamat ialah orang yang mengetahui tetapi tidak mengambil manfa`at dengan ilmunya.(Diriwayatkan daripada Abu Hurairah)

Berkaitan dengan perkara di atas, al-Imam al-Qurtubiy mengemukakan pandangannya: Ketahuilah - semoga Allah ‘Azza Wa Jalla memberi taufik kepada kamu - bahawasanya celaan di dalam ayat di atas adalah berpunca daripada meninggalkan perbuatan baik bukan kerana menjalankan tugas menyeru melakukan kebaikan. Kerana itulah, Allah ‘Azza Wa Jalla mencela mereka sepanjang zaman hingga hari qiamat.

Firman Allah SWT: Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (kejahatan), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (al-Maidah, 79)

Antara lain, ayat ini menegaskan bahawa seseorang melakukan kejahatan juga dituntut supaya mencegah orang lain melakukan kejahatan. Sememangnya ia telah berdosa dengan melakukan kejahatan. Dosanya akan bertambah jika tidak melarang orang lain yang melakukan kejahatan. Sebagai contoh seorang yang minum arak mestilah juga berusaha menegah rakannya yang meminum arak.

Tahap-Tahap Dalam Mencegah Kemungkaran

Tahap-Tahap Dalam Mencegah Kemungkaran

Para ulama telah menerangkan tentang bagaimanakah cara dan tahap-tahap untuk menegah kemungkaran, antaranya ialah al-Imam Ibn Qudamah. Menurut beliau tahap-tahap tersebut adalah seperti berikut:

Langkah Pertama : Pengenalan

Seorang jahil yang tidak mengenali kemungkaran dan apabila diberi penjelasan, ia akan meninggalkan kemungkaran tersebut, maka hendaklah diberi penerangan dengan cara yang lemah-lembut dan berhikmah.

Langkah Kedua : Memberi nasihat

Memberi peringatan dan menceritakan sejarah perjuangan para salafusoleh dan umat terdahulu dengan cara yang baik tanpa menggunakan kekasaran.

Dr Ramadhon Abdul Muttolib Khumais telah menyebut: Allah telah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun agar berjumpa dengan Firaun yang telah melampau dan menyerunya agar kembali kepangkaun Ilahi (jalan yang benar) dengan berlemah-lembut dan berhikmah.

Nabi Musa AS telah memulakan dakwahnya dengan katanya seperti dalam firman Allah ‘Azza Wa Jalla:Maksudnya: Adakah engkau suka hendak menyucikan dirimu.(An-Nazia’at: 18)

Nabi Musa telah mengunakan uslub yang panjang untuk menjinakkan hati Firaun. Sebenarnya Nabi Musa boleh menggunakan uslub yang lebih ringkas iaitu:(Adakah kamu sucikan diri?). Namun uslub yang sebegini terlalu kasar dan tidak berhikmah; boleh menimbulkan kemarahan serta menjauhkan hati Firaun.(Al-Dakwah Al-Islamiah Arkanuha Wa Minhajuha: 250-251)

Langkah Ketiga: Berkeras Dan Menggunakan Ketegasan

Apabila orang yang diseru berdegil dan mempermain-mainkan nasihat yang disampaikan, maka ketika ini perlu digunakan uslub penyampaian yang lebih tegas dan keras, tetapi bukan menggunakan celaan, perkataan yang kotor dan pembohongan. Contohnya uslub yang telah digunakan oleh Nabi Ibrahim AS, firman Allah ‘Azza Wa Jalla:Maksudnya: Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?(Al-Anbiya’: 67)

Langkah Keempat: Menggunakan Tangan (kuasa)

Setelah langkah-langkah di atas ternyata gagal maka tangan boleh digunakan untuk mencegah kemungkaran tersebut daripada terus berleluasa, seperti membuang arak, mengoyak gambar-gambar lucah dan mengkhayalkan.

Ibn Qudamah berkata: Sesiapa yang merasakan bahawa ia akan ditimpa kemudharatan sekiranya ia bertindak, maka tidak wajib baginya mencegah kemungkaran tersebut, namun sekiranya ia merasakan, ia tidak akan dihukum dengan suatu yang memudharatkan maka adalah menjadi kewajiban ke atasnya untuk bertindak. Ukuran kemudharatan tersebut bukan tertakluk kepada sejauhmana pengecut atau beraninya seseorang, sebaliknya diukur dengan neraca kesederhanaan di dalam tindakan dan kesempurnaan tabi’at seseorang. Apa yang dimaksudkan dengan mudhorat adalah seperti tercetusnya pembunuhan, pukulan, rampasan harta dan provokasi dalam negara. Namun jika sekadar celaan dan makian, bukanlah suatu yang boleh dianggap sebagai keuzuran untuk mengundur dari menjalankan tanggungjawab ini.(Mukhtasor Minhaj Al-Qosidin: 132)

Jika tidak wujud kemudharatan sepertimana di atas, maka kita perlu perhatikan pula, adakah kemungkinan berlakunya fitnah dan prasangka buruk dari kalangan orang ramai terhadap tindakannya tersebut.

Mencegah dengan tangan adalah menjadi tanggungjawab dan hak ke atas penguasa atau penjaga, ke atas orang yang melakukan kemungkaran contohnya pemerintah berkuasa ke atas rakyatnya. Seorang ayah adalah berkuasa ke atas anak-anak dan isterinya. Jiran, saudara-mara, sahabat handai dan orang ramai bukan di bawah kekuasaan kita. Justeru itu, kita hanya boleh menegah kemungkaran dengan kata-kata dan hati sahaja.

Langkah Kelima: Ancaman

Membuat ancaman dan menakut-nakutkan seperti mengatakan: “Tinggalkanlah perkara ini jika tidak aku akan melakukan sesuatu ke atas engkau”

Langkah Keenam: Bertindak Keras

Memukul dengan tangan dan kaki serta anggota lain tanpa menggunakan senjata, dengan syarat jika di dalam keadaan terdesak dan ia dilakukan sekadar keperluan sahaja. Sekiranya orang tersebut telah meninggalkan kemungkaran yang dilakukannya maka pukulan tersebut hendaklah dihentikan serta merta.(Mukhtasor Minhaj Al-Qosidin: 136, Feqh Al-Dakwah Fi Ikar Al Munkar: 56)

Hukum-Hakam Berkaitan Mencegah Kemungkaran

Hukum-Hakam Berkaitan Mencegah Kemungkaran

Al-Imam Ibn Qudamah telah menyatakan empat keadaan berkaitan hukum mencegah kemungkaran:

Ketikamana seseorang itu mengetahui bahawa kemungkaran boleh dicegah dengan perkataan atau perbuatannya tanpa berlaku kemudharatan ke atasnya. Ketika ini hukumnya adalah wajib.
Ia mengetahui bahawa percakapannya itu tidak mendatangkan faedah, sekiranya ia bersuara nescaya ia akan dipukul. Maka pada ketika ini tidak wajib ke atasnya mencegah kemungkaran tersebut.

Ia mengetahui bahawa tegahannya itu tidak mendatangkan kesan dan di waktu yang sama ia tidak gentar dengan sebarang bahaya. Maka pada ketika ini, hukumnya tidak wajib tetapi sekadar mustahab (sunat) untuk tujuan menzahirkan syiar agama dan melaksanakan tugas penyampaian.

Ia mengetahui bahawa ia akan ditimpa kemudharatan sekiranya ia menegah kemungkaran tersebut, namun kemungkaran itu boleh dihapuskan sekiranya ia bertindak seperti membuang arak dan ia juga mengetahui bahawa ia akan dipukul dengan tindakan tersebut. Maka ketika ini hukumnya tidak wajib tetapi hanya sekadar mustahab (sunat).

Sabda Rasulullah SAW:Maksudnya: Jihad yang paling afdhal ialah menyatakan kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.(Mukhtasor Minhaj Al-Qosidin: 132)

Namun demikian, jika semua pihak berdiam diri, tidak mahu mencegah kemungkaran maka ini akan mengundang laknat Allah. Justeru itu, mestilah ada sebahagian ulama' yang bangun menegah kemungkaran walaupun menanggung risiko kemudharat an. Tidak sepatutnya seluruh umat berpegang dengan kaedah rukhsah (kelonggaran hukum) sebaliknya perlu ada juga di kalangan mereka yang berpegang dengan azimah (hukum asal).