Tuesday, March 27, 2012

ADAKAH KEBANGKITAN RAKYAT ADALAH SUATU FITNAH DAN KEKACAUAN?!

Golongan Pertama: Penyokong parti pemerintah yang zalim dan menindas rakyat. Mereka mempunyai kepentingan peribadi daripada kezaliman, kecurian dan rompakan. Mereka
berpendapat gejala itu harus dibiarkan, jika disekat akan tercetuslah fitnah.
Sekalipun menggadaikan nyawa seseorang, tidak perlulah dihiraukan. Tidak perlu
mencetuskan kekacauan. Biarkan sahaja situasi semasa berterusan.

Golongan ini dipelopori oleh media dusta yang mempertahankan pihak pemerintah. Kemungkinan dipergunakan ulama jahat, golongan intelek upahan, golongan belia yang
berpeleseran untuk menyokong pandangan mereka.

Golongan Kedua: Orang yang lemah dari kalangan rakyat
jelata. Mereka ingin hidup aman dan selesa, sekalipun dalam keadaan hina.
Mereka tidak memiliki aspirasi yang tinggi. Mereka hanya berpada dengan sesuap
dua makanan. Dan hanya melihat masa depan yang dekat. Mereka mengambil sikap
berkecuali dan tidak mempedulikan senario politik yang berlaku. Merekalah yang
dimaksudkan dalam sabda Rasulullah SAW:

لَا تَكُونُوا إِمَّعَةً تَقُولُونَ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَا تَظْلِمُوا

“Janganlah kamu menjadi “immaah” (pak turut), iaitu kamu mengatakan jika orang baik, maka akupun baik; jika orang zalimku, maka aku juga zalim. Tetapi tetapkanlah pada diri kalian jika manusia baik, aku juga baik; jika mereka jahat, maka janganlah kamu zalim.” (Daripada Huzaifah: Sunan al-Tirmizi)

Golongan ini hanya memerhatikan orang yang memperjuangkan kebenaran tanpa menyertai perjuangan mereka. Jika mereka berjaya, maka golongan ini turut bergembira dan memujinya.
Jika mereka gagal, golongan ini mengatakan: Bukankah kami katakan jangan timbulkan kekacauan dan cetuskan fitnah!.

Golongan ini bukanlah munafik, tetapi pengecut dan hanya mengikut-ikut. Mereka ingin persengketaan ditenteramkan dan dihentikan supaya usaha mereka mencari sesuap nasi dapat
diteruskan. Justeru mendapati ungkapan fitnah dapat dijadikan alasan yang mudah
dan lunak disebut.

Golongan Ketiga: Mereka melihat jika dua golongan muslimin bertentangan ia adalah fitnah yang mesti dihindari. Menentang pemerintah tidak harus selagimana mereka menunaikan
solat atau tidak melakukan kekufuran yang nyata.

Golongan ini menggunakan hujah dengan beberapa hadis dengan tafsiran yang salah. Antaranya
sabda Nabi SAW:

إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ هذَا الْقَاتِلُ فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ قَالَ: إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ

“Apabila dua orang muslim bertembung dengan pedang mereka, maka
pembunuh dan yang dibunuh di dalam neraka.” Seorang lelaki berkata: “Memang
benar bagi pembunuh, bagaimana.pula dengan orang yang dibunuh?” Sabda Baginda:
“Ia bersungguh-sungguh ingin membunuh lawannya.” (Daripada Abu Bakrah: Sahih al-Bukhari)

Persoalan daripada hadis ini ialah adakah setiap pertembungan dan persengketaan antara golongan muslimin, maka semua pihak akan masuk neraka? Ataupun terdapat pengecualian dalam hal ini atau pengkhususan.

Adakah apabila seseorang melakukan kezaliman, ingin mencuri dan merompak harta seseorang atau harta keluarganya, maka ia mesti menyerah diri dan menyerahkan hartanya.
Bukankah Nabi SAW bersabda:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهيدٌ ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ ، وَمَنْ قتِلَ دُونَ دِينهِ فَهُوَ شَهِيدٌ ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ

“Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, ia adalah syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya, ia adalah syahid.
Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, ia adalah syahid. Sesiapa
yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, ia adalah syahid.” (Daripada Amr bin Nufail: Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi)

Jadi bagaimana pula pemerintah yang mencuri harta rakyat, mencabul hak rakyat, dan menzalimi rakyat?

Adakah muslim yang mempertahankan, membela dan memperjuangkan haknya, hak anaknya, hak keluarganya dan hak rakyat, sama seperti muslim yang mencuri, merompak dan zalim?

Adakah muslim yang berilmu dan beradab yang keluar menyatakan kebenaran dan menuntut hak, sama seperti "samseng profesional"?

Rentetan itu, adakah jika dua orang muslim yang bertarung pedang, kedua-dua pihak adalah sama?

Dalam menerangkan hadis tersebut Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath Bari dan Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim mengatakan bahawa ancaman dalam hadith tersebut ditujukan kepada orang yang bertarung tanpa alasan yang diharuskan, malah ia hanya ingin
kuasa.

Jadi bukankah terdapat alasan yang diharuskan bagi yang orang menuntut hak yang diiktiraf
tetapi dirampas.

Menurut Imam al-Thabari pula, jika orang-orang muslim wajib lari dengan berdiam diri di
rumah dan menyimpan pedang ketika setiap kali berlaku pertentangan antara
mereka, maka hukum hudud tidak patut dilaksankan, kebatilan tidak ditewaskan,
dan orang fasik akan mendapat peluang untuk melakukan perkara haram seperti
merampas harta, menumpahkan darah dan melakukan pencabulan. Ketika itu,
golongan fasik memerangi golongan muslimin, maka golongan muslimin akan
mengangkat tangan berserah diri kepada mereka. Sebabnya, golongan muslimin
berkata: Ini adalah fitnah dan kami dilarang daripada bertarung dan hal ini
bercanggah dengan perintah supaya membimbing orang yang bodoh. (Fath al-Bari)

Dalam sebuah riwayat yang dikemukakan oleh al-Bazzar, sabda Rasulullah SAW: “Jika kamu
berbunuh-bunuhan dengan sebab perkara dunia, maka orang yang membunuh dan orang
yang terbunuh di dalam neraka.” Imam al-Qurthubi memberi komentar mengenai
hadith ini: Hadith ini menerangkan bahawa jika pertarungan berlaku dengan sebab
kejahilan seperti inginkan dunia dan mengikut nafsu, maka inilah yang
dimaksudkan daripada sabda baginda: “Orang yang membunuh dan orang yang
terbunuh di dalam neraka.” (Fath al-Bari)