Wednesday, September 23, 2009

Pejuang Kebenaran Bukan Pengkhianat

Keazaman pejuang tidak sepatutnya luntur dan padam. Allah SWT berfirman:

وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (Surah Ali-Imran: Ayat 146)

Sewaktu orang lain gementar lutut dan kecut menghadapi tirani, serta mengikut kehendak penguasa yang zalim, seseorang muslim mestilah menunjukkan keberanian. Benarlah sabda Rasulullah SAW diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr:

إِذَا رَأَيْتُمْ أُمَّتِي تَهَابُ الظَّالِمَ، أَنْ تَقُولَ لَهُ: إِنَّكَ أَنْتَ ظَالِمٌ، فَقَدْ تُوُدِّعَ مِنْهُمْ

“Jika anda melihat umatku takut untuk mengatakan kepada orang yang zalim, ‘Engkau zalim! Maka tiada lagi kebaikan dan keberkatan pada mereka.” (Musnad Imam Ahmad).

Rasulullah s.‘a.w pernah mengingatkan tentang cabaran-cabaran di dalam perjalanan yang panjang itu, dengan liku-liku bahaya terutama peringkat akhir zaman:

شَمِّرُوْا فَإِنَّ الأَمْرَ جِدٌّ، وَتَأَهَّبُوْا فَإِنَّ الرَّحِيْلَ قَرِيْبٌ، وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ السَّفَرَ بَعِيْدٌ، وَخَفِّفُوْا أَثْقَالَكُمْ، فَإِنَّ وَرَاءَكُمْ عَقَبَة كَؤُوْدًا، لاَ يَقْطَعُهَا إِلاَّ الْمُخَفِّفُوْنَ، أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ أُمُوْرًا شِدَاداً وَأَهْوَالاً عِظَاماً وَزَمَاناً صَعْباً، تَتَمَلَّكُ فِيْهِ الظَّلَمَةُ، وَتَتَصَدَّرُ فِيْهِ الْفَسَقَةُ، فَيُضْطَهَدُ الآمِرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ، وَيُضَامُوْنَ النَّاهُوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ، فَأَعِدُّوْا لِذَلِكَ الإِيْمَانَ، وَعَضُّوْا عَلَيْهِ بِالنَّوَاجِذِ وَالْجَؤُوْا إِلَى الْعَمَلِ الصَّالِحِ وَأَكْرِهُوْا عَلَيْهِ النُّفُوْسَ وَاصْبِرُوْا عَلَى الضَّرَّاءِ تَفْضُوْا إِلَى النَّعِيْمِ الدَّائِمِ

“Bersiap sedialah kerana urusan ini adalah serius. Bersiap sedialah kerana saat berpindah sudah hampir. Sediakanlah bekalan kerana perjalanan amat jauh, kurangkan bebanan yang dibawa kerana di hadapan kamu terdapat beberapa halangan yang menyulitkan. Tidak akan berjaya merentasi perjalanan ini melainkan orang yang tangkas langkahnya. Wahai manusia, sesungguhnya menjelang hari Qiamat akan berlaku suasana gawat, bencana besar, dan keadaan serba sulit. Pada waktu itu golongan zalim berkuasa, golongan fasik mempunyai kedudukan penting, sedangkan golongan yang mengajak ke arah ma’ruf ditindas manakala golongan yang melarang kemungkaran ditekan. Hendaklah kalian bersiap sedia bagi menghadapi hal itu semua dengan bekalan iman. Berpegang dan berpautlah (kepada keimanan) dengan sekuat-kuatnya. Perbanyakkanlah amal soleh, paksakan diri mentaatinya. Bersikap sabarlah kalian menghadapi bencana kesusahan ini nescaya kalian akan mendapat nikmat yang berkekalan (syurga).” (Futuhat al-Makkiyyah).

Dalam sebuah hadith Rasulullah s.‘a.w menyatakan tentang bekalan yang sepatutnya dipersiapkan dalam perjalanan hidup menuju destinasi terakhir iaitu hari akhirat. Yang mana ia juga menjadi suatu cabaran untuk melakukannya. Sabda Baginda kepada Abu Zar:

لَوْ أَرَدْتَ سَفَرًا أَعْدَدْتَ لَهُ عُدَّةً؟ قَالَ: نَعَمْ؛ قَالَ: فَكَيْفَ سَفَرُ طَرِيْقِ اْلقِيَامَةِ، أَلاَ أُنَبِّئُكَ يَا أَبَا ذَرٍّ بِمَا يَنْفَعُكَ ذَلِكَ الْيَوْمِ؟ قَالَ: بَلَى بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي؛ قَالَ: صُمْ يَوْماً شَدِيْدَ الْحَرِّ لِيَوْمِ النُّشُوْرِ، وَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ فِي ظُلْمَةِ اللَّيْلِ لِوَحْشَةِ القُبُوْرِ وَحَجَّ حَجَّةً لِعَظَائِمِ الأُمُوْرِ، وَتَصَدَّقْ بِصَدَقَةٍ عَلَى مِسْكِيْنٍ أَوْ كَلِمَةِ حَقٍّ تَقُوْلُهَا أَوْ كَلِمَةِ شَرٍّ تَسْكُتُ عَنْهَا

“Sekiranya engkau ingin mengembara adakah kamu menyiapkan bekalan?” Jawab Abu Zar: “Ya.” Sabda Nabi SAW: Bagaimana dengan mengembara menuju hari Qiamat, wahai Abu Zar mahukah kamu, aku beritahukan perkara yang memanfaatkan kamu pada hari itu? Jawab beliau: Bahkan mahu wahai Rasulullah, demi ayat dan ibuku. Sabda Nabi s.‘a.w:
- Berpuasalah pada hari panas terik demi menghadapi hari kebangkitan.
- Sembahyanglah dua rakaat di tengah malam yang gelap demi menghadapi kesepian kubur.
- Tunaikanlah haji demi menghadapi cabaran-cabaran besar.
- Hulurkanlah sedekah untuk orang miskin.
- Ungkapkanlah kalimah yang benar.
- Diamlah dari menuturkan kalimah yang tercela.
(Riwayat dikemukakan oleh Ibn Abi Dunya).

Golongan Yang Tidak Dapat Melihat Allah
Sabda Rasulullah s.‘a.w sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

ثَلاثَةٌ لاَ يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة وَلاَ يَنْظُرُ إلَيْهِمْ، وَلاَ يُزَكِّيهِمْ ولَهُمْ عَذَابٌ أَلِيْمٌ: رَجُلٌ مَنَعَ ابْنَ السَّبِيلِ فَضْلَ مَاءٍ عِنْدَهُ، وَرَجُلٌ حَلَفَ عَلَى سِلْعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ، وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا، فَإِنْ أَعْطَاهُ وَفَى لَهُ، وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ لَمْ يَفِ لَهُ

“Tiga golongan, Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya:
- Seseorang yang menahan lebihan air yang dimilikinya daripada diberikan kepada orang yang bermusafir.
- Seseorang yang bersumpah palsu untuk menjual sesuatu barang selepas waktu Asar.
- Seseorang yang berakad setia dengan seorang pemimpin, jika pemimpin itu memberikan (perkara yang ia mahu), ia setia, jika pemimpin itu tidak memberikan (perkara yang ia mahu), ia tidak setia.

Ditegaskan bersumpah bohong sesudah sembahyang Asar kerana ia adalah waktu yang mulia. Orang-orang yang beragama memuliakan waktu ini dan mereka tidak akan berbohong atau menyatakan sumpah palsu dalam waktu ini. Waktu tersebut para malaikat berhimpun, malaikat malam dengan malaikat siang bersilih ganti, serta amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT.

Tiga golongan yang disebutkan di dalam hadis ini, mereka mengabai sifat ihsan, jujur, amanah dan setia. Termasuk dalam golongan yang tidak dipandang Allah SWT pada hari Kiamat ialah orang yang memberikan kesetiaan kepada pemimpin hanya untuk suatu kepentingan diri dan habuan dunia semata-mata. Ia tidak memandang kepada kepentingan agamanya. Oleh kerana ia tidak mempedulikan agamanya, maka sebagai balasannya Allah SWT juga tidak akan mempedulikannya pada hari Akhirat.